harian metro
KUALA LUMPUR: Isu butik mahupun premis gagal mempamerkan tanda barangan diperbuat daripada kulit babi masih berterusan malah keengganan pemilik mahupun penyelia gedung itu meletakkan tanda amaran dilihat tidak wajar sekali gus memerangkap pengguna yang sensitif terhadap isu ini.
Terbaru, seorang wanita terperdaya apabila cekak rambut yang dibelinya di sebuah butik di pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, di sini, sebenarnya diperbuat daripada kulit babi.
Malah mangsa, yang dikenali Hanida, 40, berkata ketika ditanya kepada petugas butik terbabit, mereka menyatakan cekak itu diperbuat daripada kulit lembu.
Menceritakan kembali pengalamannya, ketika kejadian mangsa bersama anak gadisnya membeli-belah di pasar raya yang terletak di kawasan segi tiga emas itu sebelum memasuki butik yang dimaksudkan.
more...
“Sebaik memasuki butik terbabit, saya dan anak yang sememangnya sudah biasa berkunjung ke situ mula membelek barangan jualan dipamerkan sebelum tertarik dengan cekak rambut itu.
“Sebelum membeli barangan itu, saya bertanyakan kepada petugas di premis terbabit mengenai bahan digunakan membuat cekak rambut berkenaan,” katanya.
Harian Metro turut difahamkan butik terbabit antara tempat wanita golongan mewah berbelanja berikutan harga bagi barangan yang dijual di situ agak mahal.
“Pekerja butik mengakui barangan yang dimaksudkan (cekak) itu diperbuat daripada kulit lembu.
“Berkenan dengan barang itu, saya tanpa sebarang perasaan ragu-ragu membelinya dengan harga mencecah RM200,” katanya.
Namun ‘rahsia’ barangan kulit itu akhirnya terbongkar pada suatu hari ketika mangsa bersama anaknya sekali lagi mengunjungi butik terbabit.
Ketika kejadian, penyelia butik itu tiada dalam premis terbabit dan yang tinggal hanya pekerja dan mangsa yang sememangnya dikenali di butik itu dihampiri seorang pekerja.
“Alangkah terkejutnya sebaik dimaklumkan cekak yang dipakai itu diperbuat daripada kulit babi dan pekerja itu meminta maaf berikutan tidak memberitahu perkara sebenar,” katanya.
“Pekerja terbabit turut menceritakan bagaimana dirinya serta rakan sekerja diberikan amaran oleh penyelia butik agar tidak memberitahu secara terperinci spesifikasi barangan kepada pengguna sekiranya mahu bekerja lama di situ,” katanya.
Bagi mendapatkan kepastian, mangsa kemudian menghantar cekak itu ke makmal dan hasil analisis sah menunjukkan kulit babi menjadi bahan utama pembikinan produk itu.
“Pihak berkuasa perlu membuat pemantauan yang l3ebih kerap dan dibimbangi sekiranya orang ramai tidak didedahkan dengan perkara ini, ramai lagi akan tertipu dan terus menjadi mangsa daripada keuntungan pemilik premis yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
No comments:
Post a Comment